Home MALAYSIA Zoo Negara Dibuka Semula Bermula Hari Ini

Zoo Negara Dibuka Semula Bermula Hari Ini

1224
0

Zoo Negara sudah mula dibuka kepada pengunjung bermula hari ini (Jumaat).

Timbalan Presidennya, Rosly Ahmad Lana berkata, pembukaan Zoo Negara mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Lembah Klang.

Menurut Rosly, prosedur operasi standard (SOP) ketat tetap dilaksanakan dengan hanya 2,500 pengunjung dibenarkan pada satu masa bermula 9 pagi hingga 5 petang dengan penjarakan fizikal lima meter.

“Kami bersyukur dan berterima kasih walaupun dalam tempoh PKPB (sebelum ini), kunjungan begitu menggalakkan. Kami sebenarnya bimbang kerana sekiranya Zoo Negara masih belum dibuka, pihak kami akan mengalami masalah,” katanya.

Rosly berkata, sepanjang PKP pihaknya menerima sumbangan lebih RM11 juta daripada badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), badan sukarelawan serta individu, sejak Januari 2020 hingga Januari 2021.

Menurut beliau, sumbangan bagi membeli bekalan makanan haiwan, perubatan serta menguruskan haiwan secara berterusan itu dijangka mampu bertahan hingga April ini.

Sementara itu, Rosly turut melepaskan 500 kilogram ikan rohu dan 400 kilogram ikan keli Afrika di Tasik Tunku Abdul Rahman yang dibuka kepada pemancing sejak 20 Februari lalu pada 9 pagi hingga 3.30 petang.

Katanya, pematuhan SOP ketat turut dikenakan dengan mengehadkan 70 hingga 90 orang sehari manakala ikan yang ditangkap melebihi 10 kilogram akan diserah kembali kepada pihak zoo.

Sumber & Kredit Foto: Bernama / Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here