Sama-Sama Hotel KLIA, hotel mewah dan terulung di lapangan terbang antarabangsa di Malaysia telah memenangi anugerah Best Luxury Airport Hotel bagi rantau Asia Tenggara pada tahun ini di anugerah World Luxury Hotel Awards.
Anugerah World Luxury Hotel Awards 2018 yang berlangsung dalam sebuah majlis gala di Ayana Resort Spa, Bali, Indonesia pada 10 Nov baru-baru ini telah dihadiri lebih 360 tetamu dari seluruh pelusuk dunia bagi meraikan pemenang hotel mewah terbaik yang mempunyai perkhidmatan diluar jangkauan.
Ini adalah kali ke-enam berturut-turut Sama-Sama Hotel memenangi anugerah terbaik mewakili rantau Asia Tenggara bagi kategori hotel mewah berhampiran lapangan terbang.
Selain merangkul anugerah "Best Luxury Airport Hotel, rangkaian hotel transitnya, Sama- Sama Express yang bertempat di dalam bangunan satelit kedua-dua lapangan terbang antarabangsa KLIA dan klia2 masing-masing telah memenangi anugerah kecemerlangan dalam kategori berbeza.
Sama-Sama Express KLIA memenangi anugerah kecemerlangan Best Air Transit Hotel bagi benua Asia dan bagi kategori amalan hijau dalam industri perhotelan, Sama-Sama Express klia2 telah memenangi Best Eco Green Hotel bagi rantau Asia Tenggara.
Pemangku Pengurus Besar Sama-Sama Hotel KL International Airport, Sundra Kulendra menujukan pengiktirafan yang dimenangi kepada kesemua warga kerja Hotel yang sentiasa bekerja kuat dengan penuh dedikasi kepada jenama Hotel.
Sama-Sama Hotel sebagai jenama tempatan sentiasa berusaha untuk memberikan hanya perkhidmatan yang terbaik. Saya tujukan pengiktirafan berprestij yang dimenangi kepada semua warga kerja Hotel yang tidak lekang dalam memberi sepenuh perhatian dan ketekunan memegang janji kami, untuk sentiasa menjalinkan hubungan bermakna dengan setiap tetamu yang datang.
Jenama hotel juga sebagai jenama Malaysia. Dalam usaha membangunkan industri pelancongan negara, menjadi keperluan bagi pemain industri untuk mempromosi tempat penginapan mereka secara individu selain mempromosi lokasi sebagai sebuah destinasi menyeluruh. Oleh itu, sama ada bagi tujuan bisnes atau percutian, warga Sama-Sama Hotel akan sentiasa berusaha memberikan pengalaman penginapan yang bermakna bagi setiap tetamu Hotel, ujarnya.
Pada awal bulan yang sama, Sama-Sama Hotel KL International Airport turut dinobatkan sebagai Best Business Hotel in Malaysia dan Best Airport Hotel in Malaysia di majlis anugerah Haute Grandeur Global Hotel Awards yang berlangsung di Palazzo Versace Dubai, United Arab Emirates.
Badan anugerah Haute Grandeur Global Hotel Awards telah menentukan pemenang berdasarkan tinjauan maklum balas kualiti daripada tetamu hotel dan bukan mengikut bilangan undi oleh panel hakim atau orang awam.
Sama-Sama Hotel KL International Airport terletak bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Hotel ini dihubungkan dengan jambatan tertutup skybridge ke bangunan terminal utama lapangan terbang yang menempatkan dewan ketibaan dan berlepas, perjalanan melalui sky bridge hanya mengambil masa kurang lebih lima minit dengan berjalan kaki ke hotel.
442 bilik penginapan dan suite mewah di Sama-Sama Hotel KL International Airport pada kebiasaan menjadi hotel pilihan bagi pelancong yang mempunyai penerbangan jangka masa panjang.
Berdasarkan laporan media terkini, menyatakan industri pelancongan telah menjadi penyumbang pertukaran asing kedua terbesar di Malaysia dengan mencatatkan ketibaan 25.9 juta pelancong dan menjana pendapatan sebanyak RM82.2 bilion pada tahun lepas.
Catatan ketibaan pelancong terbanyak diterima dari Singapura, diikuti Indonesia, seterusnya China dan Thailand. Malaysia juga dijangka akan mencapai sasaran kerajaan bagi memperoleh 26.4 juta ketibaan pelancong ke dalam negara bagi tahun 2018 dengan perolehan pendapatan sebanyak RM84.9 bilion.
Peningkatan positif juga sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mencapai 30 juta ketibaan pelancong dengan hasil pendapatan sebanyak RM100 bilion menjelang tahun 2020.
Sama-Sama Hotel KLIA
Hotel ini mempunyai 442 bilik dan suite, terletak bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Hotel tersebut telah memenangi banyak penghargaan sejak penjenamaan semula Sama-Sama Hotels KL International Airport pada tahun 2013.
Antara penghargaan yang telah diraih termasuk:
- Hotel Mewah Lapangan Terbang Terbaik oleh World Luxury Hotel Awards, 2013 – 2018.
- Hotel Lapangan Terbang Terbaik Global oleh Haute Grandeur, 2016-2017.
- Hotel Bisnes Terbaik Asia oleh Haute Grandeur, 2017
- Penganugerahan Pemenang 4 Kali Antara Syarikat Terbaik Untuk Bekerja Di Asia oleh HR Asia 2014 – 2017.
- 25 Hotel Terbaik Malaysia oleh Trip Advisor, 2013 – 2017.
- Pengiktirafan Sijil Perkhidmatan Cemerlang oleh Trip Advisor, 2014 – 2018.
Sama-Sama Hotels KL International Airport mempunyai pelbagai penginap antarabangsa dari Asia, Timur Tengah, Oceania dan Eropah.
Kebanyakan tetamu mengambil penginapan di Hotel rata-rata adalah tetamu sedang dalam transit penerbangan, persinggahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL serta untuk lawatan perniagaan singkat di KL.
Sama-Sama Hotels KL International Airport juga mempunyai rangkaian satelit, Sama-Sama Express di KLIA dan Sama-Sama Express di KLIA2.