Home MALAYSIA Pantai Teluk Kalong Terus Jadi Tumpuan Pengunjung Walaupun Bahaya Untuk Mandi

Pantai Teluk Kalong Terus Jadi Tumpuan Pengunjung Walaupun Bahaya Untuk Mandi

100
0

Meskipun kerap berlaku kejadian lemas di Pantai Teluk Kalong, di sini, namun ia terus menjadi tumpuan pengunjung tanpa menghiraukan papan tanda amaran dan larangan melakukan aktiviti mandi-manda.

Tinjauan mendapati, orang ramai mengambil peluang sempena cuti perayaan Aidilfitri untuk berkelah di pantai berkenaan serta beriadah bersama keluarga.

Menurut penduduk tempatan, arus deras terutama pada waktu petang amat berbahaya kepada pengunjung berikutan pertembungan arus pasang dan surut.

Keadaan itu boleh mengakibatkan mangsa yang sedang mandi dihanyutkan arus secara tiba-tiba. “Bahaya sini, kalau boleh kita katakan sini bahayanya olak batu, olak batu ini memang kuat.

“Apabila angin bertembung dengan olak batu, akan terjadi sedikit pusaran,” kata nelayan Ayub Ibrahim.

Dalam kejadian petang Khamis lalu, seorang warga China ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama tujuh rakannya.

Mayatnya ditemui terapung oleh nelayan kira-kira 100 meter dari pesisir pantai sekitar jam 7.30 petang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menjalankan rondaan berkala serta pemantauan di beberapa pantai peranginan di daerah Kemaman.

Pihaknya turut menasihati pengunjung mengenai bahaya keadaan pantai di daerah terbabit bagi mengelak sebarang kejadian buruk berlaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here