Home OVERSEAS TRAVEL ASIA Pakej Umrah dan Haji Berharga RM28 di Lombok

Pakej Umrah dan Haji Berharga RM28 di Lombok

378

Lombok sering sahaja dikenali sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan keindahan pulau di Indonesia namun sering sahaja dibandingkan dengan Bali.

Pada tahun lalu Lombok menjadi wakil tunggal destinasi pelancongan pilihan menerusi undian Tripadvisor traveller choices malah mengenepikan Bali dalam senarai top 10 berkenaan.

Populariti mendadak wisata di Lombok gara-gara kewujudan Wisata Edukasi Jabal Rahmah yang terletak di Desa Jango daerah Kacamatan, Indonesia.

Keunikan wisata tersebut ialah menyediakan suasana persis menunaikan haji dan umrah di Mekah di samping perkhidmatan pendidikan umrah haji.

Wisata Jabal Rahmah menyediakan kemudahan lengkap replika seperti Kaabah yang dibina persis saiz di Masjidilharam termasuk makam Nabi Ibrahim dan Hijr Ismail.

Malah tidak jauh daripada kawasan Kaabah terdapat replika bukit Mina, tugu Ula, Wustha, dan Aqabah. Lokasi ibadah Sai dari bukit Marwah hingga Shafa juga ada di sini.

Tidak ketinggalan lokasi melemparkan batu iaitu Jamrah juga dibina dalam kawasan wisata ini. Tambahan pula, terik matahari amat membantu menghidupkan lagi suasana menunaikan haji dan umrah.

Masuk sahaja ke kawasan berkenaan, papan tanda peringatan di pintu masuk memberi peringatan kepada pengunjung supaya berada dalam keadaan ihram.

Jangan salah faham, papan tanda itu bukanlah mengajak pengunjung melakukan umrah dan haji di wisata tetapi wujud sekadar menghidupkan lagi suasana seakan di Mekah.

Ironinya wisata ini tetap menyediakan perkhidmatan lengkap merasai pengalaman umrah dan haji pada kadar Rp67 ribu (RM19) untuk kanak-kanak dan Rp100 ribu (RM28) untuk dewasa.

Dengan bayaran tersebut pengunjung bukan sahaja didedahkan dengan pengalaman dan kaedah menunaikan haji serta umrah, malah dengan hanya menambah Rp10 ribu (RM2.80) pengunjung boleh menyarungkan ihram.

Sungguhpun begitu, sekiranya pengunjung sekadar mahu melawat dan melihat kawasan wisata tanpa mengikut perkhidmatan kursus haji umrah juga dibenarkan.

Kendatipun, biarpun kawasan berkenaan hanya replika dan miniatur lokasi suci di Mekah, pengunjung dinasihatkan untuk menjaga adab terutama aurat.

Wisata ini mula dibina pada tahun 2018 dan beroperasi pada tahun 2019 berjaya menarik pelancong yang ingin melakukan latihan serius menunaikan haji dan umrah di Mekah.

Malah pelancong dari Malaysia dikatakan antara pengunjung paling ramai dan kerap mengambil pakerj pendidikan di wisata ini.

Sumber Bali Lombok Trips