Home MALAYSIA Kaya Keunikan & Khazanah Semula Jadi, Gua Chiku 2 Jadi Tarikan Terbaru...

Kaya Keunikan & Khazanah Semula Jadi, Gua Chiku 2 Jadi Tarikan Terbaru Pelancong

2601
0

Keindahan Gua Chiku 2 yang terletak di tengah-tengah kawasan perkampungan Felda Chiku 2 Gua Musang, Kelantan menjadi tarikan kepada pengunjung tempatan dan luar daerah ini.

Gua Chiku 2 adalah satu penemuan baharu yang berpotensi menjadi tarikan pelancong kerana keunikannya.

Gua batu kapur itu dikatakan sudah lama wujud sebelum pembukaan tanah di Felda Chiku 2 yang menempatkan 267 peneroka di kawasan itu.

Terletak kira-kira satu kilometer dari Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pengunjung akan mengambil masa selama satu hingga satu jam setengah untuk sampai ke puncak gua yang berketinggian 300 kaki.

Menerokai keindahan gua yang dianggarkan berusia ratusan tahun itu terdapat tujuh tingkat atau aras yang menyimpan pelbagai keunikan dan khazanah alam semula jadi.

Memasuki pintu gua sahaja, pengunjung sudah terpukau dengan struktur bentuk batu yang cantik, unik dan mempesonakan.

Di tingkat 1 Gua Chiku 2 itu terdapat pelbagai binatang dan benda unik berbentuk batu.

Antaranya ialah batu yang menyerupai bentuk gajah, ikan, katak, ular, cicak, burung helang, buaya, orang tidur, mahkota, kasut, saji dan air terjun tujuh tingkat.

Ketika ini kajian dan penemuan baharu masih dijalankan oleh ahli jawatankuasa pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Chiku 2 bagi menyelongkar banyak lagi sisi keunikan gua itu.

Gua yang berada di kawasan tanah berkeluasan 15 ekar itu mempunyai tiga pintu gua dan ianya boleh didaki oleh semua lapisan peringkat umur termasuklah golongan kanak-kanak.

Sejak dibuka secara rasmi selepas dinaik taraf  pada 17 Oktober lalu, Gua Chiku 2 telah menarik seramai 500 pengunjung dalam masa sehari terutamanya ketika waktu hujung minggu.

Sumber: FB Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here