
Aroma serai, tumbuhan herba dan selingan lapisan bau vanila menyusup di setiap rongga hidung menyambut kedatangan tetamu setiap kali berkunjung ke restoran ini.
Selingan alunan muzik kecak sambil menyaksikan para pelayan mengenakan persalinan tradisional rakyat Bali, membuatkan anda terasa seperti ‘mengembara’ sebentar ke pulau popular di kepulauan Indonesia itu.



“Om Santih Santih Santih Om (ucap selamat dalam bahasa ibunda Bali),” kata pelayan tersebut membuatkan anda tersedar semula dari lamunan.
Ya, pengalaman seumpama itu dapat anda rasai sekiranya berkunjung ke restoran Ole Ole Bali yang terletak dalam pusat beli belah IOI City Mall di Putrajaya.
Setiap sudut hiasan dalaman Ole Ole Bali amat menitikberatkan originaliti dalam budaya masyarakat Bali. Sudah tentu pengaruh seni bina Hindu kuat dirasai menerusi ukiran patung, kayu-kayan dan lukisan.



Kebanyakan perabot dalam restoran ini menggunakan kayu jati asli dan pencahayaan yang tidak terlalu terang menghasilkan suasana eksklusif dan tenang.
Selain hiasan dalaman dan originaliti budaya Bali, konsep dapur terbuka juga menarik untuk diamati terutama meyakinkan restoran ini menjaga kualiti kebersihan hidangan mereka.



Menawarkan harga antara RM8 hingga RM69 pilihan gastronomi asal Bali, barat dan kudapan antara yang boleh anda nikmati.
Antara yang unik hidangan Kelapa iaitu kopi yang digabungkan dengan jus kelapa dan Gula Merah iaitu kopi bersama adunan gula merah.



Maklumat lanjut sila layari https://oleolebali.asia/ dan Selamat Makan.
Sumber gambar https://www.facebook.com/oleolebaliioicity/