
Melarikan diri tatkala dikejar angsa, waima mendengar sekumpulan itik seakan berperang ketika pulang ke sarang antara nuansa kampung yang tidak dapat dipisahkan.
Jarang di kala ini terutama mereka yang menetap di kawasan kota dapat menikmati pengalaman sedemikian.

Penulis sendiri yang telah berhijrah ke kota Kuala Lumpur sudah jarang mendengar kokokan ayam jantan berteriak di pagi hari.
Pernah merasai nikmat tersebut ketika membesar di kampung, sudah tentu nuansa ayam berkenaan umpama melodi yang dirindui.

Mujur Laman Tamara ada menyediakan momen persis hidup di desa sekiranya anda memilih untuk menginap di inap desa berkenaan.
Terletak di Sri Menanti di Negeri Sembilan dengan pemanduan sekitar dua jam dari Kuala Lumpur, nikmat rasanya dapat lari seketika dan menginap di sini.

Mengekalkan rumah tradisional dengan binaan papan, hiasan dalaman di dalam kediaman ini juga sama seperti kehidupan kampung masa dulu.
Dari penggunaan perabot sehingga ambience dalam kediaman ini dikekalkan untuk memberikan suasana menetap di desa halaman.

Mereka yang pernah membesar di kampung pasti memahami perasaan berkenaan sekali gus memutar kembali memori kala bergelar anak desa.
Sungguhpun demikian, untuk menyuntik nilai tambah keseronokan menginap di sini, terdapat sebuah kolam untuk anda bermandi-manda.

Berendam sambil menikmati saujana desa apatah lagi berlatar belakangkan bukit bukau menghijau menyuntik rasa puas tersendiri.
Malah bukan sahaja kolam, berdekatan kawasan inap desa ini terdapat kolam ikan dan sungai. Whao boleh pancing anak ikan!!

Buat pengetahuan anda, rumah kampung ini mempunyai lima buah bilik dan tiga bilik air yang mampu memuatkan sehingga 15 kapasiti pada satu masa.
Harga yang ditawarkan sekitar RM800++ semalam. Info lanjut di Facebook Laman Tamara

Sumber Instagram Staycation.ig