
Resort berprestij bertaraf lima bintang, The Andaman di Langkawi terbakar dalam kejadian pada malam Selasa (12 Januari) lalu.
Tular dalam laman sosial Facebook rakaman video bahagian utama resort berkenaan marak dengan api dengan hampir keseluruhan bangunan terbakar.

Rata-rata pengguna laman sosial bukan sahaja khuatir wujud kemalangan jiwa malahan kebarangkalian kebakaran tersebar di kawasan hutan berhampiran.
Bagaimanapun, 40 anggota bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian berjaya mengawal api daripada terus marak dan merebak sekitar 1 tengah hari ini (Rabu, 13 Januari).

Maklumat lanjut mendapati tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran di resort berkenaan masih dalam siastan.
Tidak dinyatakan jumlah penghuni di resort tersebut, namun menerusi satu kenyataan rasmi pihak resort kesemua penghuni telah dipindahkan ke hotel berdekatan.

Difahamkan punca kebakaran bermula dari bahagian dapur kemudian merebak dan sukar dikawal sehingga sesetengah bahagian The Andaman hangus terbakar.
Berikutan kejadian tersebut, resort The Andaman terpaksa ditutup buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada proses siasatan dan membaikpulih.

Sumber The Star dan Rizal Hakimm