Home MALAYSIA Pencinta Sejarah! Jom Singgah 5 Tempat Menarik Di Bandar Klang… Dekat Je!

Pencinta Sejarah! Jom Singgah 5 Tempat Menarik Di Bandar Klang… Dekat Je!

2398
0

Mungkin ada yang tak tahu, daerah Klang merupakan bandar yang pernah menjadi ibu negeri Selangor suatu ketika dahulu.

Terletak kira-kira 30 kilometer dari bandaraya Kuala Lumpur, Klang adalah bandar Diraja untuk negeri Selangor.

Kini, Klang menjadi destinasi pelancongan terpenting di Selangor ekoran jumlah pengunjung semakin meningkat saban tahun.

Nak bercuti ke destinasi yang dekat dengan ibu kota? Klang adalah tempat yang perlu anda terokai!

Bagi penggemar sejarah, jom semak senarai destinasi yang boleh anda kunjungi sekitar Klang:

#1 Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz

Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ini merupakan lokasi yang patut anda lawati sekiranya anda ingin mendapatkan pengetahuan tentang sejarah Kesultanan Melayu Selangor. Anda boleh melihat pelbagai koleksi peribadi menarik Diraja, termasuklah replika mahkota, barangan peribadi, replika pedang negeri dan banyak lagi!

#2 Kota Raja Mahadi

Tempat bersejarah di Klang ini terletak pada ketinggian yang strategik. Dibina oleh Raja Mahadi di Bukit Kota, ia menjadi saksi perang saudara antara Raja Mahadi Ibni Almarhum Raja Sulaiman dan Raja Abdullah Ibni Almarhum Raja Jaafar pada pertengahan kurun ke-19 bagi merebut hak pemilikan sungai Klang dan tebing-tebingnya. Kini, ia menjadi destinasi pelancongan popular Klang dan telah diselenggara dengan baik untuk menerima pelancong.

#3 Gedung Raja Abdullah

Gedung ini merupakan bangunan lama yang dijadikan sebagai muzium timah. Ia dibina pada tahun 1854 sebagai gedung bagi Raja Abdullah menyimpan stok timahnya. Kini, apabila masuk ke dalam bangunan ini, pelancong akan dibawa semula mengimbau zaman silam dengan senibinanya yang retro.

#4 Jambatan Kota

Jambatan Kota mempunyai keunikan tersendiri dan menjadi tumpuan kerana keunikan senibinanya. Jambatan dua tingkat ini merupakan jambatan yang pertama pernah didirikan di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Menelan kos pembinaan sebanyak RM10 juta, Jambatan Kota dibina merentangi Sungai Klang.

#5 Masjid Diraja Sultan Suleiman

Dibina bersempena pengisytiharan Klang sebagai pusat pentadbiran negeri, masjid ini merupakan masjid negeri Selangor sebelum wujudnya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Bercirikan seni bina Monghul, masjid ini baru sahaja melalui projek konservasi untuk menarik lebih ramai pelancong dan tetamu rumah Allah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here