
Bermula 5 Mac ini, empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang yang sebelum ini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal bertukar status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut laporan Sinar Harian, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi negeri Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak pula masih kekal sebagai negeri PKPB.
“Enam negeri PKPB iaitu Pahang, Melaka, Terengganu, Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan ditukar status kepada negeri PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).
“Pelaksanaan PKPB dan PKPP di negeri-negeri tersebut bermula 5 Mac sehingga 18 Mac ini kecuali negeri Sarawak iaitu pada 2 Mac sehingga 15 Mac nanti,” katanya.
Menurut Ismail lagi, pergerakan rentas antara Selangor ke Kuala Lumpur adalah dibenarkan, namun pergerakan dari Selangor atau Kuala Lumpur ke Putrajaya masih tidak dibenarkan.
Kerajaan juga memberi kebenaran rentas daerah di dalam negeri yang sama kecuali Sabah.
“Ini bagi melindungi Wilayah Persekutuan Putrajaya daripada penularan Covid-19 kerana Putrajaya berstatus PKPP.
“Pergerakan dari Selangor atau Kuala Lumpur ke Putrajaya masih memerlukan kebenaran polis kecuali bagi mereka yang bekerja dan mempunyai surat majikan,” katanya.
Sumber & Kredit Foto: Sinar Harian