SHARE

Albania sebuah negera kecil di Balkan dan bersempadan dengan Greece, Macedonia, Kosovo dan Montenegro. Muslim adalah populasi terbesar di Albania. Jumlah populasi Albania adalah seramai 3.6 juta penduduk. Tirana adalah ibu negara Albania.

Pendakian bermula dari Valbone ke Theth, kedua-duanya digelar Taman Negara atau ‘Accursed Mountain’. Pendakian boleh dilakukan dalam masa sehari dan saya mengambil masa selama 8 jam dengan beberapa rehat makan tengahari, mengambil gambar dan rehat-rehat kecil sambil menikmati keindahan kedua-dua taman negara.

Di sini saya ingin kongsikan bagaimana untuk mendaki Albanian Alps, bermula dari perjalanan ke Valbone hingga ke Theth bersama beberapa rakan pengembara lain baru-baru ini.

1. Perjalanan dari Shkoder ke Valbone

Saya menetap di bandar kecil Shkoder, lebih kurang 15km dari sempadan Montenegro.

Bas mini dari Shkoder ke terminal feri Koman Lake mengambil masa 90 minit. Saya beli kesemua tiket dari hostel di Shkoder. Bas mini bertolak pukul 6.15am dari hostel di Shkoder.

Feri berlepas tepat jam 9 pagi. Perjalanan mengambil masa selama 3 jam dari Terminal Tasik Koman ke sebuah kampung kecil, Fierze.

Perjalanan selama 3 jam tidak sunyi dari keindahan pemandangan di tasik Koman. Fierze adalah stesen terakhir dan dari Fierze saya mengambil bas mini ke Valbone.

Fierze ke Valbone sejauh 25 km dan mengambil masa lebih kurang 1 jam.

2. Valbone ke Theth

Jarak dari tempat tinggal kami di Valbone ke tempat bermula pendakian ke Theth adalah sejauh 7km. Tuan punya hostel menghantar kami menaiki kereta.

Trekking mengambil masa selama 8 jam dari Valbone ke Theth. Kebiasaannya hanya 6 jam tetapi kami meluangkan banyak masa untuk berehat dan menikmati keindahan musim luruh.

Pada ketinggian 1500m terdapat sebuah kafe kecil bagi yang ingin menikmati kopi atau teh panas dan tandas. Juga terdapat tempat bagi yang ingin berkhemah. Percuma ya.

October adalah musim tidak ramai pelancong datang ke sini berbanding di musim panas. Kami hanya terserempak dengan 7 orang pendaki lain di sepanjang pendakian kami.

‘Trekking trail’ di sini sangat berbatu, jadi anda perlu menggunakan kasut yang sesuai. Memang agak mencabar semasa pendakian turun. Terdapat 1 lagi kafe semasa pendakian turun.

3. Kampung Theth

Merupakan sebuah kampung kecil yang sangat cantik. Terdapat beberapa ‘hiking trail’ yang boleh dilakukan dalam masa sehari.

Tempat-tempat menarik seperti Grunas waterfall, Grunas Canyon, Blue Eye, Gereja, dan boleh meluangkan masa menerokai keindahan kampung.

Trekking ke Grunas Waterfall, mengambil masa selama sejam.  Trekking ke blue eye mengambil masa selama 6 jam pergi dan balik. Berbaloi.

Saya lihat banyak penginapan-penginapan baru mula dibina di sini bagi menampung pertambahan bilangan pelancong bagi musim panas akan datang.

4. Theth ke Shkoder

Perjalanan mengambil masa selama 3 jam dengan menggunakan bas mini. 40km pertama di sepanjang perjalanan agak mencabar dengan jalan yang berbatu dan bengkang-bengkok.

Pemandangan yang menarik di sepanjang perjalanan menurun dari kampung Theth. Tiket bas mini boleh dibeli dari tempat penginapan di Theth.

Bas mini terakhir adalah pada jam 1.30pm. Saya mbil keputusan untuk menginap di Shkoder 1 malam bagi merehatkan badan selepas trekking.

5. Penginapan di sepanjang laluan

(i) Di Shkoder : The Wanderers Hostel
Inilah penginapan dan perkhimatan yang terbaik sepanjang perjalanan saya. Staff yang sangat peramah dan akan menolong apa saja yang anda perlukan. Mereka menjawab segala pertanyaan yang saya kemukakan.

Hostel ini dibuka 3 tahun lepas dan diusahakan oleh bapa dan anak. Makan pagi yang sangat enak dan jika kita perlu naik baas di awal pagi, mereka akan bangun di awal pagi untuk sediakan makan pagi untuk kita.

Inilah terjadi kepada kami yang kena naik bas jam 6.15pm. Mereka bangun seawal 5 pagi untuk menyediakan sarapan untuk kami.

Segala tempahan bas mini ke mana-mana destinasi, feri dan bas mini ke Vlabone juga boleh dibuat melalui hostel ini. Mereka juga menolong kami mengatur teksi dari Theth pulang ke Shkoder kerana bas tidak beroperasi pada hari itu.

Penginapan termasuk sarapan pagi percuma. Mereka juga benarkan kami menyimpan ‘extra luggage’. Tidak perlubawa semua barang ke Theth.

(ii) Valbone: Arben Selimaj Guesthouse
Saya sangat mencadangkan anda memilih guesthouse ini di Valbone. Ada beberapa Guesthouse di tengah kampung Valbone yang mana kita akan dengar bunyi kereta, lori dan kenderaan besar lalu lalang.

Tetapi di Arben, apa yang akan kita dengar adalah suasana alam semula jadi di waktu malam. 10meter dari guaesthouse ada air terjun yang sangat cantik.

Guesthouse ini diusahakan oleh sepasang suami isteri Muslim yang sangat manis dengan senyuman. Penginapan termasuk makan tengahari semasa kami sampai, makan malam, sarapan pagi keesokkan harinya dan bekalan makanan untuk trekking.

Menu makan malam kami ikan segar yang baru saja dipancing oleh Arben. Ikan bakar dan kentang koreng yang sangat sedap. Ditambah pula dengan sup, memang sesuai dengan cuaca sejuk.

(iii) Theth: Villa Gjecaj

Anda tak perlu risau jika ke sini sebab terdapat banyak penginapan di Theth. Tidak perlu buat tempahan awal di booking.com atau Hostelworld. Kami menginap di Villa Gjecaj yang terletak di lokasi strategik dan menarik.

Kami buat tempahan menginap di guesthouse ini di booking.com. Kos penginapan 10 Euro 1 malam tidak termasuk makan tengah hari dan makan malam. Cuma termasuk sarapan pagi.

Saya dihidangkan dengan pemandangan yang cantik di awal pagi dari tingkat tempat tidur saya. Sarapan pagi bermula pukul 7 pagi, hidangan ‘pancake’ sangat sedap dipadankan dengan ‘mountain tea’.

Untuk makan malam, kami diberi pilihan untuk pilih menu yang disediakan. Terdapat pilihan ayam, kambing, nasi dan cendawan, sup sayur, salad. Saya tidak mencadangkan ayam dan kambing, sebab mereka cuba rebus dan dicicah bersama sos cili atau tomato. Boleh cuba byrek, sup sayur dan kentang.

6. Kos keseluruhan

  1. Shkoder hostel sebelum trekking, 2 malam : 14.4 Euro
  2. Minibas ke Terminal feri Tasik Koman : 5 Euro
  3. Feri ke Fierze : 5 Euro
  4. Bas mini ke Valbone : 5 Euro
  5. Valbone hostel, 1 malam : 20 Euro
  6. Theth Hostels, 2 malam : 32 Euro
  7. Teksi Theth ke Shokder : 10 Euro
  8. Shokder Hostel selepas trekking, 1 malam : 7.2 Euro

Jumlah : 98.6 Euro atau RM493

7. Tips hiking

1. Hitchhiking sangat mudah di Balkan. Anda boleh hitchhiking dari Montenegro ke Shkoder. Boleh Hitchhiking dari Shkoder ke Tirana.

2. Albanian currency adalah Lek yang mana 100 Lek = RM3.8.

3. Euro di terima secara meluas di hostels, restaurant, kafe, dan kedai biasa.

4. Burger dijual serendah 1 Euro.

5. Rakyat Albania sangat peramah, tidak perlu rasa malu untuk memulakan percakapan. Sebut saja ‘Hi…’.

6. Semua hostel di Valbone berharga 20 Euro, percuma 3 kali makan dan 1 bekalan untuk trekking.

7. Kebanyakan hostel atau Guesthouse di Theth berharga 20 Euro termasuk 3 kali makan dan sarapan pagi.

8. Tidak perlu ambil ‘guide’ untuk trekking ke Theth

9. Sekurang-kurangnya bawa 1.5 liter air untuk trekking. Anda boleh tambah air di pertengahan jalan di kafe.

10. Perlu kasut hiking yang sesuai. ‘Trekking taril’ sangat berbatu dan licin.

11. Untuk berjimat, anda boleh ambil bas dari Shkoder ke terminal feri Tasik Koman. Boleh jimat 5 Euro. Sama juga apabila anda sampai di Fierze, anda boleh hitchhiking ke Valbone. Walaupun tak banyak kereta lalu lalang tapi itu tidak menjadi satu masalah.

12. Jika anda 4 orang, boleh ambil teksi dari Theth pulang ke Shkoder, tambang 10 Euro seorang.

13. Vodafone adalah talian dan kad sim popular di Albania. Pakej permulaan adalah 800 Lek termasuk 200 panggilan tempatan, 200 SMS dan 5GB data.

14. Makanan tradisi Albania yang harus dicuba adalah Tave Kosi, Fegese dan Byrek (Albanian Pie).

15. Jika anda ada ‘motion sickness’ seperti saya, boleh cuba tips ini . Ini apa yang saya praktikan semasa travel :

(i) Cuba pilih untuk duduk di kerusi di bahagian hadapan bila naik teksi, bas atau bas mini.
(ii) Ambil makanan yang sederhana sebelum memulakan perjalanan.
(iii) Cuba tidak lihat ke arah banyak objek ketika dalam perjalanan.
(iv) Fokus ke arah jalan di hadapan dan fokus kepada 1 objek.
(v) Jangan membaca atau menulis.
(vi) Kurangkan ‘bermain’ dengan telefon.
(vii) Jangan pejamkan mata.
(viii) Sediakan beg plastik ya. Bersedia jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Selamat mengembara!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here